Datuk Bandar, Yang Dipertua Perlu Main Peranan Pacu Pembangunan Melaka

cm melaka

MELAKA, 1 Feb – Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memain peranan dan tanggungjawab dalam mempertingkatkan sistem pentadbiran di peringkat kerajaan tempatan dengan komprehensif bagi memacu pembangunan Melaka lebih mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata tumpuan harus diberikan dalam menyelesaikan aduan rakyat, menaik taraf kemudahan dan infrastruktur awam selain cakna terhadap masalah peniaga kecil termasuk menyediakan gerai yang kondusif, permohonan lesen serta menangani isu sampah sarap dan banjir.

“Kita juga mempunyai tempoh kurang setahun untuk mempersiapkan negeri ini menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 bagi merancakkan sektor pelancongan dalam memacu pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, semua PBT diharap dapat melaksanakan perkara yang diberi tumpuan bagi menjadikan Melaka negeri terbersih, indah, ceria dan selamat.

“Kerajaan negeri telah mengenal pasti tindakan yang perlu dilaksanakan oleh PBT melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan program-program dilaksanakan memanfaatkan rakyat,” katanya berucap pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis itu, Datuk Shadan Othman mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Saifuddin Abdul Karim sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Rosemanizam Mohd Nalif@Zawawi sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Datin Sapiah Haron sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Sulaiman berkata pelantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis itu berpandukan peruntukan yang diberi kepada Pihak Berkuasa Negeri di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Beliau berkata pencapaian PBT Melaka sepanjang 2022 dengan pelbagai penganugerahan dan pengiktirafan antaranya Anugerah Bandar Mampan dan Berdaya Huni oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga perlu diambil kira sebagai pengukur kejayaan peringkat PBT di Melaka.

Sementara itu, Shadan berkata beliau tekad untuk memberikan komitmen bagi menyelesaikan segala isu berkaitan rakyat termasuk menyelesaikan aduan diterima, membela nasib penjaja serta penjagaan kebersihan dan pengindahan di kawasan masing-masing selaras saranan Ketua Menteri Melaka sebagai persediaan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024.

Sapiah pula berkata pihaknya akan memfokuskan usaha menaik taraf dan penambahbaikan produk pelancongan selain pengindahan landskap serta kawasan sekitar bagi memastikan kawasan pentadbirannya sentiasa terjaga.

“Di kawasan MPHTJ terdapat banyak produk pelancongan popular seperti Zoo Melaka, taman burung dan sebagainya, justeru kawasan tumpuan pengunjung ini juga perlu sentiasa diselenggara bagi memberi imej yang baik kepada pelancong,” katanya. – BERNAMA

Sumber : https://umno-online.my/2023/02/01/datuk-bandar-yang-dipertua-perlu-main-peranan-pacu-pembangunan-melaka/

Majlis Perbandaran Jasin,
Vista Alamanda,
77000 Jasin, Melaka.

G : 2.29484, 102.41080

T : +606 - 333 3333
C : +606 - 529 5555
F : +606 - 529 3537
E : info@mpjasin.gov.my

  • on Tuesday 14 May 2024, 02:57:01.
00657921

Disclaimer : The Jasin Municipal Council (MPJ) is not responsible for any loss or damage suffered as a result of using the information on this site.
Best View : Using latest version of Microsoft Edge / Mozilla Firefox / Google Chrome with 1366 x 768 resolution.